Isnin, 15 Februari 2010

KOMPLEKS PAS KAWASAN RAUB

RAUB: PAS Kawasan Raub bakal memanfaatkan pelbagai kemudahan apabila Kompleks Pentadbiran PAS bernilai RM525,000 siap kira-kira tiga tahun lagi.

Yang Dipertua PAS Kawasan Raub, Dr Mohamed Nilam Abdul Manaf berkata, kompleks itu dibina atas tapak seluas lebih satu hektar yang berharga RM75,000.

Menurutnya, pembinaan kompleks itu dijangka disiapkan dalam lima fasa secara berperingkat dengan kos anggaran keseluruhannya RM450,000.

“Semua peruntukan diperoleh daripada kutipan dana ahli dan dermawan yang memberikan sepenuh sokongan dalam merealisasikan usaha membina kompleks berkenaan.

“Perancangan peringkat pertama, kita sediakan dewan dan bangunan pejabat agar ia menjadi nadi memudahkan jawatankuasa PAS jalankan sebarang pengurusan pentadbiran,” katanya pada majlis upacara pecah tanah di Kampung Melayu Sempalit Ulu, di sini.

Hadir sama Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri, Dr Hamzah Jaafar; Setiausaha Perhubungan PAS Negeri, Roslan Zainal; Bendahari PAS Kawasan Raub, Tengku Shah Amir Tengku Perang dan Pengarah Projek, Badaruddin Amiruddin.

Sementara itu, Hamzah berkata, tindakan individu mengeluarkan wang sekali gus membeli tanah bagi tujuan pembinaan kompleks itu dianggap sebagai jihad peribadinya demi pembangunan masyarakat.

Katanya, keutamaan dalam jihad ialah menerusi harta benda, kemudian baru disusuli jiwa raga.

“Kompleks pentadbiran ini amat penting dalam pembangunan PAS negeri bagi tujuan mengadakan perhimpunan besar terutama ketika menerima kunjungan pimpinan pusat yang pasti mendapat kunjungan ahli seluruh negeri.

“Setakat ini, PAS negeri mempunyai kompleks di Jerantut dan Indera Mahkota, tetapi keadaan kawasan amat terhad dan tidak dapat menampung kehadiran ahli ramai di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata, pembinaan kompleks pentadbiran di daerah ini dianggap sebagai proses kemajuan amat baik berdasarkan kawasan tapak agak luas dan selesa.

“Pembinaan kompleks selesa dan lengkap dengan setiap fasiliti amat penting terutama ketika mengadakan perhimpunan atau muktamar sama ada peringkat negeri atau pusat.

“Saya yakin sokongan padu dan kerjasama masyarakat akan mudahkan usaha kumpul dana dalam menyediakan kos pembinaan agar tercapai matlamat perjuangan parti.

“Tahniah kepada dermawan yang sudi menyumbangkan harta mereka demi melihat kemajuan dalam pentadbiran PAS kawasan ini tercapai,” katanya.

Individu atau organisasi berminat untuk memberi sumbangan bagi memenuhi tabung dana pembinaan kompleks itu boleh berbuat demikian menerusi akaun Bank Islam (06046010012696) atau dapatkan keterangan lanjut daripada Bendahari PAS Kawasan Raub menerusi talian 019-9322828.
video